Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
KAMPUNG JANGSAK, Khamis, 5 Mac. - Majlis Tadarus Al-Quran bulan Ramadan rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Daerah Brunei dan Muara (DBM) berlangsung di Masjid Jubli Perak, Kampung Jangsak, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah diikuti dengan Majlis Bacaan Tadarus Al-Quran dan Bacaan Tahlil serta Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Jubli Perak, Kampung Jangsak, Awang Mohammad Sahlan bin Rosalan.
Majlis juga diisikan dengan penyampaian derma kepada 14 anak yatim dan wakaf yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim / Kampung dan pemimpin akar umbi serta menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan.
Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang terdiri dalam kalangan penghulu mukim dan ketua kampung, Setiausaha - setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di dalamnya serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung DBM berserta penduduk kampung sekitarnya.